Thursday, February 26, 2015

RENUNGAN JUMAAT, AYAT AL NISA .29


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu."
( Surah An-Nisa’ ; 29 
)



Sebagai manusia, sudah pasti kita tidak dapat memisahkan diri daripada kegiatan-kegiatan muamalat khasnya dalam bidang perniagaan(tijarah). Manusia amat memerlukan hal yang sedemikian, malah Allah SWT menyuruh supaya manusia menceburi bidang perniagaan.
Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan"(Hadis Riwayat Tirmizi).
Oleh yang demikian, sesiapa yang menjalankan urusan perniagaan sama ada kecil atau besar tetapi masih di dalam lingkungan perniagaan, mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW juga telah bersabda maksudnya:
"Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) beserta dengan para nabi, siddiqin dan para syuhada"(Hadis Riwayat Tirmizi).

Bagaimanapun, tijarah yang dimaksudkan adalah yang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak, yang juga disertai dengan sifat benar dan amanah. Sifat-sifat sedemikian adalah merupakan ciri-ciri yang akan menempatkan mereka bersama-sama dengan para nabi dan rasul.
Rasulullah SAW telah menghalang orang yang melakukan jual beli daripada bersumpah dan mengatakan sesuatu yang tidak benar. Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:

"Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya" (Hadis Riwayat Bukhari).
 Di samping itu para peniaga hendaklah sentiasa bersedia memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Mereka perlu ingat bahawa tujuan perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi juga terselit konsep memberi kemudahan dan membantu pihak lain, khasnya pengguna.

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
 "Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang susah, mahupun dilangsaikan hutang tersebut, Allah SWT akan memayungkannya di hari kiamat di bawah bayangan arashNya"(Hadis Riwayat Kaab bin Umar). 

Bagi peniaga Muslim inilah peluang yang boleh direbut kerana sesiapa yang memberi hutang dan melanjutkan tempoh bayaran balik hutang tersebut, Allah SWT telah berjanji akan memberinya bayangan arasy di akhirat kelak. Ini menunjukkan peluang untuk mendapat keredhaan Allah SWT melalui perniagaan.
Islam juga menyuruh manusia berlaku adil dalam perniagaan di samping memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Ini bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam, seperti dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:
 "Seseorang Muslim itu adalah bersaudara kepada seorang Muslim yang lain" (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). 
Baginda Rasulullah SAW telah diriwayatkan sebagai seorang ahli perniagaan yang sentiasa memberi senyuman kepada pelanggan dan meletakkan harga jualan yang sama kepada semua pelanggan yang hendak membeli barangan yang sama. Keistimewaan yang dimiliki Baginda ini membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa laris dan mendapat keuntungan yang besar. Perkara ini telah diakui oleh pekerja Saidatina Khadijah iaitu Maisarah.
Islam melarang umatnya daripada melakukan "monopoli" dan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran. Rasulullah SAW bersabda maksudnya,
 "Sesiapa yang menyorok(barangan), dia telah melakukan kesalahan"(Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi & Muslim)
Oleh itu mari kita menghayati pengertian ayat Al Nisa ;29 ini sebagai rujukan disiplin niaga kita sebagai umat islam , semoga kita memperolehi keberkatan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment