Memahami kaitan Melayu dan Islam
Melayu dan Islam adalah sinonim. Di katakan bahawa Melayu
memegang satu kunci kejayaan Islam di akhir zaman. Bangsa Melayu di katakan
Bangsa misteri yang mana di dakwa
bersusur galur dengan beberapa tokoh
dalam sejarah Islam.
Oleh itu sebelum kita mengupas lebih lanjut akan tajuk
topic ini kita wajib memahami kenapa Melayu wajib mengikuti adab berniaga di
dalam Islam. Nama-nama seperti
Iskandar Zulkarnain, Nabi Ibrahim alaihisalam dan juga sirah Rasullulah s.a.w
serta para sahabat dan tabien merwarnai susuk susur galur keturunan Melayu yang
di katakan amat misteri asal usulnya. Sesetengah pendapat pula menolak akan
teori ini.
Namun beberapa kajian saitifik berdasarkan DNA mejurus kepada
kebenaran bahawa DNA orang Melayu bersusur galur dari timur tengah mempunyai
asas yang kukuh. Menurut Profesor zaharah Sulaiman dari Ikatan Arkelogi Malaysia yang telah melakukan Projek Human
Genome. Menunjukan susur galur orang Melayu berasal dari semenanjung Arab yang
mana dalam peringkat penghijrahan manusia ia berada pada tahap tiga lapisan
asal. Ini bermakna Bangsa Melayu adalah Bangsa Tua yang mempunyai talian rapat
dengan Orang Arab. Dan di dalam Islam para Rasul dan nabi telah di turun kan
dalam bangsa Yahudi dan Arab. Anda boleh terus meneliti pembentangan Projek
human Genome ini di link berikut :
Sementara Ketua
Kluster Universiti Sultan zainal Abidin
(Uniza) Penyelidikan Peradaban Melayu & Islam Prof. Dato' Dr. Hj MohamedAnwar bin Omar Din pula menulis di dalam jurnal beliau yang bertajuk “ASAL-USUL ORANG MELAYU: MENULIS SEMULASEJARAHNYA”.
Beliau menulis dalam jurnal tersebut seperti
berikut:
“Berdasarkan data yang
dikutip daripada kajian lapangan yang telah dijalankan oleh penulis selama
lebih setahun di hamper seluruh wilayah Alam Melayu, termasuk di Pulau Siantan
(Gugusan Pulau Andamas), hampir seluruh Sumatera, Brunei, selatan Siam,
Sulawesi, dan tentunya di seluruh Malaysia, dapat disimpulkan bahawa, pertama,
seperti mana sudah sering diperkatakan oleh para pengkaji umumnya, orang Melayu
yang ada pada hari ini adalah satu
bangsa yang ditentukan oleh penganutan agama Islam, menutur bahasa Melayu
yang berakar-umbi daripada bahasa Austronesia + Austroasia + Sanskrit + Islam,
dan mengamalkan ciri-ciri warisan budaya Nusantara sehingga boleh membezakan
mereka daripada bangsa-bangsa lain.”
Maklumat lain pula yang di dapati dari Profesor Mashitah Sulaiman . Centre for Core Studies Universiti Sains
Islam Malaysia, Negeri Sembilan, Malaysia . beliau menulis dalam jurnalnya
yang bertajuk “ISLAM DAN TRANSFORMASISOSIAL MASYARAKAT MELAYU MALAYSIA: SUATU KAJIAN EKSPLORATORI”.
Bahawa ;
“Ramai daripada kalangan sarjana serantau
mempercayai bahawa proses Islamisasi masyarakat Melayu telah berlaku sejak
peringkat awal Islam lagi dan lebih daripada satu millennium atau seribu tahun
yang lampau melalui empat atau lima gelombang (Arnold, 1986; Abdullah, 1992;
Muhammad Mustaqim, 2011)”
“Transformasi budaya
dan pemikiran Islam adalah satu perubahan asas dalam pembentukan Tamadun
Melayu. Transformasi masyarakat Melayu kepada budaya Islam secara jelas ditunjukkan
dalam pembentukan Kerajaan Islam Samudra-Pasai. Pasai telah muncul sebagai
pusat pengajian dan penyebaran Islam dan juga boleh dianggap sebagai pusat
Tamadun Melayu Islam yang pertama di Kepulauan Melayu (Abdul Rahman, 1990, 48;
Wan Hussein, 1980,143; al-Attas, 1969, 12).
Apabila Ibn Battuta melawat Pasai
pada tahun 1345/6M, beliau melaporkan bahawa Sultan Pasai pada masa itu,
Al-Malik al-Zahir merupakan seorang yang bermazhab Shafie dan amat menyayangi
para ulama. Fuqaha' atau ulama dalam ilmu Feqah dan perundangan Islam telah
menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan oleh baginda untuk membaca kitab dan
membincangkan hal-hal berkaitan agama (Ismail Hamid, 1985, 177). Sultan adalah
seorang yang alim dan baginda berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan
sembahyang Jumaat (Syed Nurul Akla dan Adi Setia, 2006, 730-731).
Di samping
itu, Hikayat Raja-Raja Pasai juga menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW telah
muncul di dalam mimpi Merah Silu dan nabi memberi gelaran Sultan Malikul Saleh
kepada baginda (Jones, R. 1999, 15). Selain itu, pemerintah Pasai juga
menggunakan gelaran Al-Malik al-Zahir selepas memeluk agama Islam, dan ini
menunjukkan hubungan yang amat kuat di antara kerajaan Melayu dan Timur Tengah kerana
gelaran ini juga yang telah digunakan oleh pemerintah Islam semasa kesultanan
Mamluk di Mesir (Mohammad Redzuan, 2005, 13).
Begitu juga dengan gelaran yang
digunakan oleh Maharaja Derbar Raja II, pemerintah pertama Negeri Kedah yang
memeluk Islam dalam 1136M. Pemerintah Kedah tersebut telah menukar namanya
kepada Sultan Muzaffar Shah selepas menjadi seorang Muslim. Baginda dikatakan
telah diislamkan oleh ulama Arab dari Yaman, iaitu Shaikh Abdullah (Muhammad
Hassan Dato’ Kerani Mohd Arshad, 1968, 26).”
Rujukan –rujukan ini memperlihatkan betapa Bangsa Melayu
amat wajib mengikuti bentuk adab dan disiplin Islam dalam perniagaan kerana ia
adalah rangka kehidupan dan disiplin kejayaan dalam usaha yang di lakukan demi
mencapai matlamat jihad ekonomi yang sedang di lakukan. Ia bukan sekadar satu
sejarah yang hanya perlu di ketahui, ia sebenarnya satu ramuan kejayaan yang menyimpan satu rahsia yang sangat besar dan amat berharga kepada sesiapa yang
memahami kontek perjuangan ekonomi atau Jihad ekonomi Bangsa Melayu itu
sendiri.
Adab dan etika berniaga dalam Islam.
Penulis telah mengambil satu artikal berkaitan yang
bersesuian menjadi sumber rujukan berkaitan topik yang di bincangkan , hasilnya
penulis menemui satu rangka susunan disiplin Adab atau etika perniagaan dalam
Islam yang jelas dan tersusun yang di buat oleh Mohd Nizho bin Abdul Rahman dan Mohd Shukri bin Hanafi dengan Kertas Kerja Seminar Keusahawan II,peringkat Kebangsaan.15 Oktober 2008. Hal. 23. Anjuran Universiti Malaya danJAKIM. Kuala Lumpur
beliau menulis;
“Perniagaan Menurut Pandangan Ulama’
Tidak dapat dinafikan
bahawa perniagaan adalah merupakan amalan yang disukai oleh para nabi. Di dalam
al-Quran dan hadis diceritakan tentang perniagaan yang membabitkan sumber dan
kaedah yang terbaik bagi seseorang itu melakukan aktiviti perniagaan. Untuk
memahami nas-nas berkaitan perniagaan, maka para ulama’ adalah orang yang
bertanggungjawab memberi pandangan berkaitan perniagaan.
Antaranya:-
1. Ibn Khaldun dalam
Muqaddimah menyatakan bahawa perniagaan merupakan salah satu kaedah seseorang
itu memperluaskan modal (Ibn Khaldun, 1995 : 467).
2. Al-Sayyid Sabiq
dalam Fiqh al-Sunnah menyatakan bahawa perniagaan adalah pertukaran barang
dengan barang atau harta dengan harta atau harta dengan barang atas dasar
persetujuan kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli) atau pertukaran hak
milik dengan gantian (bayaran atau mubadalah) mengikut peraturan syarak (al-Sayyid
Sabiq, 1994 : 147).
3. Imam al-Syarbini
menyatakan bahawa perniagaan ialah pertukaran dalam bentuk wang dengan barang
atau barang dengan barang bertujuan mendapatkan keuntungan (al-Syarbini, 1995 :
142).
4. Imam al-Razi
menjelaskan bahawa perniagaan sebagai satu transaksi barang-barang yang wujud
atau belum atau tidak wujud (Fakhr al-Razi,1994 : 129).
Oleh yang demikian,
sesuatu perniagaan itu mestilah mempunyai unsur-unsur pertukaran barang dengan
barang atau barang dengan perkhidmatan atau barang dengan wang. Perniagaan juga
dilakukan untuk mendapat keuntungan tanpa menindas orang lain dengan wujudnya
persetujuan antara penjual dan pembeli). Paling penting, perniagaan yang
dilakukan hendaklah sah dan mendapat pengiktirafan di sisi syarak.
5.0 Maksud Etika Mengikut Kamus Dewan,
(2005 : 401) etika adalah prinsip moral atau akhlak atau nilai-nilai akhlak
yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (persatuan,
pekerjaan dan lain-lain).
Adapun Institut
Integriti Malaysia (2007 : 17) pula mendefinisikan etika sebagai himpunan nilai
dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan
profesyen. Jelasnya etika adalah suatu prinsip atau peraturan atau nilai akhlak
atau moral berkaitan tingkah laku atau tindakan setiap anggota dalam sesuatu
kumpulan. Oleh itu, apabila disebut etika perniagaan ia memberi erti
peraturan-peraturan atau nilai akhlak atau moral yang membatasi gelagat atau
tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan.
6.0 Ciri-ciri Etika Islam
Etika Islam mempunyai
ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada etika-etika yang lain. Antara
perkara tersebut ialah: Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan
7 i) Kebaikan Mutlak
Kebaikan mutlak
merupakan ciri utama dalam Islam yang merupakan ciptaan Allah s.w.t. Kebaikan
yang dihasilkan sungguh murni untuk individu, keluarga dan masyarakat. Ia
sesuai untuk setiap tempat, zaman dan suasana. Etika murni yang disarankan oleh
Islam adalah merupakan ibadah hamba kepada Penciptanya. Sebagai contoh, sifat
pemurah yang dianjurkan oleh Islam merupakan suatu amalan pemberian secara
ikhlas dan rahsia. Al-Quran telah menjelaskan perkara ini melalui firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “Dan kalau
kamu pula sembunyikan sedekahsedekah itu serta kamu memberikannya kepada fakir
miskin, itu adalah lebih baik bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah, 3:271)
ii) Kebaikan Sejagat
Etika Islam menjamin
kesejahteraan manusia sejagat tanpa membatasi tempat, suasana dan zaman. Kesejagatannya
bermula daripada Allah s.w.t yang telah mencipta alam dan manusia. Ini kerana
Allah s.w.t adalah Maha Mengetahui segala keperluan makhluk ciptaanNya terutama
sekali manusia. Justeru, etika menepati fitrah manusia melewati batas
keturunan, geografi, zaman dan sebagainya.
iii) Mudah
Etika yang ditetapkan
oleh Islam adalah mudah dan serasi dengan jiwa manusia dan dapat diterima oleh akal,
hati dan dalam lingkungan kemampuan manusia melakukannya. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
“....(dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh
kemudahan dan dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan...” (Surah al-Baqarah, 2:185)
iv) Mantap
Etika Islam sesuai
sepanjang zaman dan untuk semua masyarakat. Sedangkan teori etika lain sentiasa
berubah-rubah dan hanya mengikut situasi masyarakat, tempat dan zaman tertentu
sahaja.
v) Pengawasan Yang
Menyeluruh
Allah s.w.t mencipta
manusia dan menggubal etika yang bersesuaian dengan cara hidup manusia. Etika
Islam tidak memerlukan penguasaan dan pengawasan yang keras terhadap mereka
yang melanggarinya. Pengawalan dan pengawasan hanyalah melalui keimanan dan ketakwaan
kepada Allah s.w.t. Inilah yang menjadikan manusia berasa bersalah dan tertekan
jika mereka melakukan etika yang keji. Etika yang bersumberkan al-Quran dan hadis
serta berteraskan akidah dan syariah yang mantap mempunyai pengawasan yang
menyeluruh mencakupi harta, sikap, hati, tenaga dan bahasa (Mustafa Hj. Daud, 1994 : 30-37).
7.0 Sumber Etika Perniagaan Islam
Etika perniagaan
adalah diperolehi daripada dua sumber utama hokum Islam iaitu al-Quran dan
hadis. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang
dengan keduaduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis Riwayat Malik –
dipetik daripada Mohd Radzi & Ghafarullahuddin, 2005 : 10).
Selain itu, ia juga
dibincangkan oleh para ulama’ dalam satu cabang daripada ilmu fiqh iaitu Fiqh
al-Muamalat. Dengan memahami etika perniagaan Islam kita akan dapat memastikan
perniagaan yang dijalankan itu diredhai oleh Allah s.w.t. Namun, untuk
perbincangan Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan dalam kertas
ini akan ditinjau etika perniagaan dari perspektif al-Quran sahaja.
8.0 Etika Perniagaan dari Perspektif Al-Quran
Di samping memberi
galakan kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam perniagaan, al-Quran juga
menetapkan beberapa peraturan dan etika yang mesti dipatuhi oleh umat Islam
dalam menjalankan aktiviti perniagaan mereka. Ini bertujuan supaya tidak
berlakunya penipuan, ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya yang akhirnya akan
membawa kepada keruntuhan ekonomi dan mengancam kesejahteraan masyarakat
seluruhnya. Antara peraturan-peraturan dan etika penting yang terpancar
daripada pengajaran al-Quran ini adalah seperti berikut:
i) Niat Ikhlas
Niat menjadi asas
sesuatu perbuatan kerana ia meletakkan sasaran atau matlamat. Niat yang ikhlas
dan benar selalunya diikuti dengan pelaksanaan yang diredhainya. Ini sangat
berbeza dengan dasar ‘the end justifies the mean’ yang berbangga dan tidak merasa
berdosa mencapai sesuatu matlamat di atas kesengsaraan oleh lain (Ma’amor
Osman, 2001 : 54). Penekanan supaya berniat ikhlas dan benar ini disebut dalam banyak
ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Katakanlah:
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah,
Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan
kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah)”. (al-An’am, 6:162-16310
Maksudnya: “Katakanlah:
Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan. Dan (katakanlah): Luruskanlah mukamu (ikhlaskanlah
dirimu) di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan
ketaatanmu kepadaNya sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian
pulalah kamu akan kembali kepadaNya) ". (al-A’raf, 7:29)
Maksudnya:
“Sesunguhnya kami menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) dengan (membawa)
kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan)
ketaatankepadaNya”. (al-Zumar, 39:2)
Maksudnya: “Padahal
mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan
(mengikhlaskan) ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan
supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat; dan yang demikian
itulah agama yang lurus”. (al-Bayyinat,
98:5)
Oleh itu, seseorang
peniaga muslim harus memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai sesuatu
tujuan murni dan agar mendapat keredhaan Allah s.w.t dalam segala aspek
kehidupannya.
ii) Tidak Terlibat dengan Amalan Riba
Riba dalam pelbagai
bentuknya adalah sangat dilarang dalam Islam kerana ia menjadi punca kepada penindasan
dan ketidaksamaan dalam ekonomi. la boleh mewujudkan keadaan orang yang kaya
menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah miskin. Larangan terhadap
amalan riba ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang
berkaitan adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Orang-orang
yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti
berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan
(syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya
berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual
beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai
kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari
mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman
itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan
sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya”. (al-Baqarah, 2:275)
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman tinggalkanlah saki baki daripada amalan riba jika kamu
benar-benarberiman”. (al-Baqarah, 2:278)
Maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman janganlah kamu memakan riba berlipat ganda”. (Ali 'Imran, 3:130)
Maksudnya: “Dan (ketahuilah
bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan (riba) yang kamu berikan, supaya
bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia, maka ia tidak sekali-kali
akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya
sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan
keredhaan Allah Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan semata-mata,
maka mereka yang melakukannya itulah orangorang yang beroleh pahala
berganda-ganda”. (al-Rum, 30:39)
Seseorang peniaga
muslim wajib membebaskan diri daripada amalan riba, sama ada dalam pembiayaan
atau pelaburan. Di Malaysia sumbersumber pembiayaan yang bebas daripada riba
semakin meluas. Usaha dibuat oleh para peniaga untuk mengenalpasti
sumber-sumber ini dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin. Usaha mengelakkan
riba ini bukan sahaja dapat mengelakkan daripada penindasan, bahkan dapat menggalakkan
orang yang kurang modal berniaga dengan persaingan yang sihat. Mereka juga
tidak akan ditindas oleh golongan peniaga yang mempunyai modal yang besar.
iii) Saling Redha-Meredhai
Antara etika dan
prinsip terpenting dalam amalan perniagaan yang dianjurkan oleh Islam ialah
kewujudan unsur saling redha-meredhai antara dua atau beberapa pihak yang terlibat
dalam aktiviti perniagaan. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman
Allahs.w.t:
Maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil
(tidak sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan secara) redha-meredhai
antara kamu”. (al-Nisa’, 4:29)
Para mufassir
menghuraikan kata "batil" dalam ayat di atas sebagai sebarang bentuk
yang boleh menjejaskan kesahihan kerelaan yang telah diberikan (Abdur Rahman I.
Doi, 1992: 350-351). Penekanan al-Quran terhadap unsur keredaan dalam perniagaan
ini bertujuan supaya tidak ada pihak yang teraniaya dalam perniagaan melalui
sebarang bentuk pun. Sebarang keputusan untuk mengadakan kontrak perniagaan
dibuat dengan penuh sedar
dan rela berdasarkan maklumat-maklumat yang benar dan tepat. Oleh itu, sebarang
aktiviti perniagaan yang dibuat dengan hanya berasaskan spekulasi terutamanya
dalam perkara-perkara penting adalah dilarang.
iv) Menjauhi Semua Unsur Penipuan
Al-Quran berulang kali
mengingatkan para peniaga supaya bersikap jujur dan melarang keras terhadap
penipuan dalam perniagaan. Peringatan yang berulang kali ini tidak
menghairankan kita memandangkan penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai merupakan
sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan. Antara ayat-ayat yang boleh
disebutkan di sini seperti berikut:
Maksudnya: “Dan
cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil”. (al-An‘am, 6:152)
Maksudnya: “Dan janganlah
kamu mengurangi sukatan dan timbangan”. (Hud, 11:84)
Maksudnya: “Dan
cukupkanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang
adil, yang demikian itu lebih baik (balasannya di dunia) dan amat baik
kesudahannya (di akhirat)”. (al-Isra’, 17:35)
Maksudnya: “Hendaklah
kamu sempurnakan sukatan dan janganlah menjadi golongan yang merugikan orang
lain. Timbanglah dengan neraca yang betul”. (al-Syuara’, 26:181-182
Maksudnya: “Celakalah
bagi orang-orang yang menipu; iaitu orang-orang yang apabila menerima sukatan
dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan sebaliknya apabila mereka
menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangkan (sukatan atau timbangan
tersebut)”. (al-Mutaffifin, 83:1-3)
Semua ini menunjukkan
penipuan dari segala segi adalah haram dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan
akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan
perbalahan dan pergaduhan yang berpanjangan.
v) Memenuhi dan Menunaikan Akad (Kontrak)
Al-Quran memerintahkan
agar apabila seseorang telah bersetuju mengikat sesuatu kontrak secara sah
dengan penuh kerelaan berdasarkan maklumat yang sahih dan tepat, maka ia
mestilah memenuhi dan menunaikan kehendak dan terma yang telah ditetapkan dalam
kontrak tersebut. Dalam hal ini terdapat beberapa ayat yang berkaitan seperti
berikut:
Maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman tunaikan perjanjian-perjanjian (yang telah dipersetujui)". (al-Ma’idah, 5:1)
Maksudnya: “Dan
penuhilah perjanjian (kerana) sesungguhnya sesuatu perjanjian itu pasti akan
dipertanggungjawabkan”.
(al-Isra’, 17:34)
Dalam perniagaan
secara Islam, segala perjanjian yang dibuat secara sah dan atas kerelaan
bersama, maka ia wajib dipenuhi dan ditunaikan. Memungkiri janji sangat
dilarang oleh Allah s.w.t. Dengan adanya larangan ini, segala bentuk penipuan
akan dapat dielakkan.
vi) Al-'Adl (Keadilan)
Salah satu daripada
etika penting dalam perniagaan secara Islam ialah melaksanakan al-‘Adl atau
keadilan. Ini bermaksud peniaga harus bersikap sederhana dalam semua perkara
tanpa menguntungkan sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap
semua pelanggan, memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta memberikan
hak kepada orang yang berhak.
Dalam erti kata lain, keadilan bererti meletakkan
sesuatu di tempatnya yang betul. Penekanan supaya berkeadilan ini disebut dalam
banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti
berikut:
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh
kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan
adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya
Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat”. (al-Nisa’, 4:58)
Maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran)
kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku
adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah
sesungguhnya Allah Maha mengetahui perkara yang kamu kerjakan”. (al-Ma’idah, 5:8)
Maksudnya:
“Sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban
kepada sesorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata,
maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah
janji Allah yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat”. (al-An’am,
6:152)
Maksudnya: “Dan di
antara orang-orang yang kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan
hak, dan denganyang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan”. (al-A’raf, 7:181)
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan”. (al-Nahl, 16:90)
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian
itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak)”. (al-Isra', 17:35)
Jelaslah bahawa
al-Quran amat menekankan soal keadilan. Oleh itu, keadilan dalam perniagaan
akan memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli
atau penjual akan mendapat haknya. Dengan pengamalan etika ini, peniaga akan
mendapat untung yang sewajar dan pembeli
akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang
dibayar.
vii) Amanah
Peniaga tidak boleh
membohongi pelanggan, mengkhianati pelanggan, menjual barangan dengan harga
yang terlalu tinggi dan melengahkan pembayaran kepada pengedar atau pembekal
barangan ke kedainya. Ini bermaksud perlakuan peniaga hendaklah menjurus kepada
perilaku benar atau amanah dalam urusan perniagaan. Penekanan supaya beramanah
ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang
berkaitan adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”.
(al-Nisa’, 4:58)
Maksudnya: “Wahai orang-orang
Yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah)
kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Anfal, 8:27)
Maksudnya: “Dan mereka
yang menjaga amanah dan janjinya”.(al-Mukminun, 23:8)
Amanah dalam ayat di
atas bermaksud tanggungjawab yang diterima seseorang yang kepadanya diberikan
kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa
mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia
merasa tenteram, aman, selamat dan harmoni (Muhammad Syukri Salleh, 2001:2).
Oleh itu, segala
tindakan dan keputusan dalam perniagaan yang berdasarkan sifat amanah adalah
perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada
pembeli atau penjual mendapat haknya. Penipuan dan penindasan akan dapat
dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar. Dengan sifat amanah ini
peniaga akan mendapat keuntungan yang sewajarnya dan pembeli akan mendapat
barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang dibayar.
viii) Istiqamah
Mempunyai nilai
istiqamah bermaksud seseorang peniaga hendaklah mempunyai integriti, keteguhan
atau ketetapan hati, ketabahan dan ketekunan. Peniaga tidak seharusnya
mempunyai perasaan malas, lemah semangat, tawar hati, tidak berani menanggung
risiko dan tidak sanggup berusaha bermati-matian di dalam menjalankan urusan
perniagaan. Penekanan supaya beristiqamah ini disebut dalam banyak ayat al-Quran.
Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut:
Maksudnya: “AlIah
berfirman: Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu
tetaplah kamu berdua (istiqamah) pada jalan yang lurus dan janganlah sekali-kali
kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui”. (Yunus, 10:89)
Maksudnya: “Katakanlah:
Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku
bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang
lurus (istiqamah) menuju kepadaNya dan mohonlah ampun kepadaNya. Dan kecelakaan
besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukanNya”. (Fussilat, 41:36)
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian
mereka tetap istiqamah,maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada
(pula) berdukacita”.(al-Ahqaf, 46:13)
Istiqamah dalam perniagaan
secara Islam ialah tekun bekerja atau berniaga demi mencapai kejayaan dan
keuntungan yang diredhai Allah s.w.t. Dalam erti kata lain, mengusahakan
perniagaan dengan penuh dedikasi tanpa ada rasa kecewa, lemah semangat atau
putus asa. Ringkasnya, istiqamah
menjadi faktor pencapaian matlamat dalam bidang perniagaan.
ix) Menjauhi Pembaziran
Kita dituntut untuk
merancang kehidupan. Kegagalan merancang boleh menyebabkan pembaziran waktu,
harta benda dan peluang. Perbandingan nyata ialah amalan peniaga Jepun yang
cukup cekap (Maamor, 2001:56). Kebijaksanaan dalam mempelbagaikan pendekatan dan
penyelesaian dapat mengelakkan pembaziran yang sangat dilarang oleh Islam.
Penekanan supaya menjauhi pembaziran ini disebut dalam banyak ayat al-Quran.
Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut
Maksudnya: “..dan janganlah
kamu berlebih-lebihan (membazir). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang
berlebih-lebihan”. (al-An’am, 6:141)
Maksudnya: “.....dan
janganlah berlebih-lebihan (membazir). Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang berlebih-lebihan”.(al-A’raf, 7:31)
Maksudnya: “Dan
berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin
dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghamburhamburkan (hartamu)
secara boros (membazir). Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah
saudara-saudara syaitan, dan sesungguhnya syaitan itu adalah sangat ingkar
kepada Tuhannya”. (al-Isra’, 17:26-27)
Larangan pembaziran
atau pemborosan ini bukanlah dalam aspek perniagaan sahaja, malah ia merangkumi
segenap aspek kehidupan. Inikerana ia merupakan perbuatan keji daripada amalan
syaitan. Sesungguhnya, pengelakan pembaziran dalam urusan perniagaan dapat memaksimakan
produktiviti seterusnya meningkatkan perolehan sesebuah perniagaan Islam.
x) Utamakan Kebersihan Rohani dan Jasmani
Kebersihan
mencerminkan keperibadian seseorang. Allah s.w.t sememangnya menyintai orang
yang bersih jasmani dan rohaninya. Orang yang dicintai Allah s.w.t pasti akan
disenangi oleh umat. Inilah keimanan yang sepatutnya dijelmakan oleh semua
peniaga dan pengguna. Penekanan supaya utamakan kebersihan ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang
berkaitan adalah seperti berikut:
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang
mensucikan diri (bersih rohani dan jasmani)”. (al-Baqarah, 2:222)
Maksudnya: “Dan hendaklah
kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti
orangorang Jahiliah yang dahulu. Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan
taatilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan
dosa dari kamu, wahai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya
(kebersihan rohani)”. (al-Ahzab, 33:33)
Maksudnya, “Dan pakaianmu
bersihkanlah (kebersihan jasmani)”. (al-Muddassir, 44:4)
Peniaga yang
mengutamakan kebersihan rohani dan jasmani dalam urusan perniagaannya akan
lebih disenangi dan disukai oleh parapembeli. Segala barangan yang diniagakan
akan dibeli dan digunakan oleh para pengguna dengan penuh yakin tanpa
ragu-ragu. Hal ini dapat memaksimakan produktiviti seterusnya meningkatkan perolehan
sesebuah perniagaan Islam.
xi) Mengamalkan Sifat al-Ta'awun
Al-Quran sangat
menekankan keperluan umat Islam dengan menganjurkan sifat al-Ta'awun
(bantu-membantu dan tolong-menolong) antara
satu sama lain dalam perkara-perkara kebaikan termasuklah perniagaan. Firman
Allah s.w.t:
Maksudnya: “Hendaklah
kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Bertakwalah
kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang
melanggar perintah-Nya)”. (al-Ma'idah,
5:2)
Tolong-menolong dalam
peniagaan secara Islam mempunyai dua bentuk. Pertama, setiap peniaga saling
bergantungan antara satu sama lain. Oleh itu, mereka perlu mewujudkan jaringan
perhubungan atau network yang mantap bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan
perniagaan. Segala unsur persaingan yang tidak sihat hendaklah dihindari.
Kedua, bekerjasama menjauhi perkara-perkara yang membawa keburukan dan
kebinasaan kepada orang lain. Perkara-perkara tersebut ialah seperti menipu,
menganiayai, menindas dan melakukan perniagaan yang mengandungi unsur-unsur
judi, monopoli serta manipulasi. Hasilnya, lahirlah sebuah masyarakat yang bekerjasama,
tolong-menolong dan bantu-membantu untuk kebaikan bersama.
xii) Bersopan Santun
Al-Quran menekankan
supaya bersopan santun dan menjalinkan perhubungan yang baik dalam segala
urusan kehidupan termasuklah perniagaan. Penekanan supaya bersopan santun ini
disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah
seperti berikut
Maksudnya: “(Menolak peminta-peminta
sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah
lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau
perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha
Penyabar”. (al-Baqarah, 2:263)
Maksudnya: “Dan
janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna
akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah
menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan
berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu
niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yangbaik”. (al-Nisa', 4:5)
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan
yang tepat – benar (dalam segala perkara)”. (al-Ahzab, 44:70)
Dalam perniagaan
secara Islam peniaga hendaklah sentiasa mengutamakan pelanggan dengan
mengucapkan kata-kata yang menarik, manis, saling hormat-menghormati,
lemah-lembut dan mempertimbangkan kepentingan semua pihak. Selain itu, peniaga hendaklah
sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi "consumer
expectation". Kepuasaan pelanggan adalah keutamaan mereka.
xiii) Menepati Masa
Ketepatan masa
merupakan salah satu daripada nilai dan etika yang ditekankan dalam Islam.
Penggunaan masa secara baik dan berkesan akan dapat membantu peniaga dan
pengusaha menyempurnakan kerja dengan cepat, tepat dan menepati masa yang
ditetapkan. Misalnya, seseorang peniaga dapat menghantar barang yang ditempah
oleh pengguna pada masa yang dijanjikan dan seseorang pengusaha projek pula
dapat menyiapkan sesuatu projek mengikut jadual yang ditetapkan. Soal ketepatan
masa ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t:
Maksudnya: “Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan
dengan kesabaran”. (al-'Asr, 103:1-3)
Kebijakan peniaga dan
pengusaha mengurus masa dengan berkesan akan dapat mengelak kesusahan di pihak
pengguna dan juga dapat meningkatkan produktiviti. Secara tidak langsung, ia
boleh menggandakan keuntungan dan menaikkan martabat seseorang secara sendirinya.
9.0 Pelaksanaan Etika Perniagaan Islam
Paling tidak, ada tiga
cara untuk memastikan pelaksanaan etika perniagaan Islam ini. Pertama, peniaga
atau pengusaha harus mempunyai ilmu pengetahuan mengenai etika perniagaan Islam.
Ini menuntut agar mereka membaca dan memahami perkara-perkara yang digariskan
dalam al-Quran dan hadis. Di samping itu, mereka wajib meyakini bahawa mereka
akan dihadapkan kepada Allah s.w.t pada hari akhirat nanti.
Hal ini akan timbul
perasaan takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t. Oleh itu, mereka harus
melaksanakan dan mengamalkan etika
perniagaan yang ditentukan oleh Islam. Tanpa keyakinan ini, akan berlakunya aktiviti-aktiviti
perniagaan yang bertentangan dengan syariat Islam. Peniaga-peniaga dan
pengusaha akan mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada melaksanakan etika
perniagaan Islam terutamanya apabila ia melibatkan kos, tenaga dan masa.
Kedua,
pengguna pula harus memahami etika perniagaan Islam dan memastikan agar peniaga
dan pengusaha mengamalkannya. Mereka harus bertindak
secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka sebagai pengguna dan memberikan
maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam memantau
pelaksanaan etika perniagaan sekiranya terdapat penyelewengan-penyelewengan.
Ketiga,
pihak kerajaan berperanan menyediakan garis panduan yang jelas dan lengkap
mengenai etika perniagaan Islam untuk diedarkan kepada peniaga dan
pengusaha-pengusaha; memastikan bahawa peniaga dan pengusaha memahami garis
panduan tersebut dan melaksanakannya; membentuk agensi atau badan untuk
memantau pelaksanaan garis panduan tersebut dengan adil dan saksama tanpa sebarang
unsur diskriminasi; dan menyediakan ruang bagi orang ramaiuntuk menyuarakan
bantahan dan memberikan maklumat sekiaranya terdapat penyelewengan.
10.0 Kesimpulan
Dalam al-Quran
terdapat banyak ayat yang membicarakan tentang etika atau peraturan perniagaan.
Sudah semestinya etika perniagaan yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada manusia
ini jauh lebih baik daripada etika atau peraturan yang disediakan oleh manusia
yang mempunyai serba kelemahan. Justeru, dengan kewujudan perniagaan yang berdasarkan
unsur-unsur perniagaan beretika yang berlandaskan ajaran al-Quran sudah tentu
ia dapat membentuk kemurniaan peribadi dan seterusnya mencapai kecemerlangan
hidup di dunia (fi al-Dunya Hasanah) dan di akhirat (fi al-Akhirat Hasanah).
Penipuan, ketidakadilan, penindasan dan penganiayaan dapat dielakkan. Sebaliknya
ekonomi umat Islam semakin berkembang dan wujud semangat bekerjasama dan saling
bantu membantu dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu, seseorang peniaga
sewajarnya mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam secara mendalam
sebelumberkecimpung dalam bidang perniagaan. “
No comments:
Post a Comment